KUALA LUMPUR: Sembilan syarikat pemula teknologi Malaysia berpeluang untuk melontarkan idea inovatif mereka kepada lebih 17 pemodal teroka terkemuka, penerbit filem terkenal dan pelabur mangkin di Washington D.C. dan Lembah Silikon.
Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dalam kenyataan memaklumkan ia adalah sebahagian daripada ekspedisi ketiga ke Amerika Syarikat (AS), ketika Kedutaan Malaysia di Washington D.C. menjadi tuan rumah kepada acara rangkaian dan pameran ‘The Pitch Malaysia: USA Series’.
“The Pitch Malaysia: USA Series juga menyediakan peluang utama kepada syarikat pemula Malaysia yang mengambil bahagian untuk mempamerkan idea inovatif mereka dan membina hubungan penting dengan bakal pelabur pada ‘2023 Select USA Investment Summit’.
“Tiga daripada sembilan syarikat pemula adalah antara 300 peserta global telah dipilih untuk menyertai ‘SelectUSA Tech Regional Pitching Session’ dan lima syarikat pemula tambahan dipamerkan di SelectUSA Tech Pavilion,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu, acara berkenaan menampilkan syarikat pemula Malaysia iaitu Alps Global Holdings (Amanda Low), VirtualTech Frontier (Jason Low), Boxcube (Datuk Emil Rinaldi), iMotorbike (Gil Carmo), Entomal (Yanni Ching), Revenue Monster Group (Lim Kar Aik), Qmed Asia: Dr Kev Lim, Accendo Technologies (Sharma Lachu) dan Pod (Nadia Ismadi).
Dengan lebih 110 peserta, acara itu mengumpulkan penonton yang pelbagai termasuk pengasas syarikat pemula dari Singapura dan Taiwan, Komuniti Diaspora Malaysia dan pemimpin perniagaan dan industri yang sangat dihormati di kawasan D.C.
Kemuncak acara itu ialah penampilan tetamu khas iaitu Timbalan Setiausaha Rendah untuk Perdagangan Antarabangsa di Jabatan Perdagangan AS, Diane Farrell.
Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim dalam ucapan perasmiannya pada acara itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, kakitangan Kedutaan Malaysia dan pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di D.C. atas sokongan mereka.
“Dengan bekerjasama, berkongsi sumber, membina rangkaian, memupuk bakat dan menggabungkan inovasi baharu seperti kecerdasan buatan, blok rantai dan metaverse dalam kehidupan seharian, perkhidmatan, perniagaan dan industri, kita dapat menyumbang kepada matlamat negara untuk mewujudkan lima syarikat berstatus ‘unicorn’ menjelang 2025,” katanya.
Kenyataan itu menyebut, semasa lawatan tiga hari ke San Francisco, syarikat pemula berkenaan diberi penghormatan untuk melibatkan diri dengan 17 pelabur mangkin dan modal teroka global manakala dua syarikat pemula Malaysia iMotorbike dan VirtualTech Frontier berjaya memperoleh pembiayaan daripada 500 Global.
“Pencapaian ini menjadi bukti kepada kualiti dan potensi luar biasa syarikat pemula dalam ekosistem keusahawanan Malaysia dan menonjolkan kemajuan hebat yang dicapai oleh usahawan Malaysia dalam persekitaran syarikat pemula global,” menurut kenyataan itu.
SIDEC ialah agensi kerajaan negeri yang diberi mandat untuk menerajui transformasi digital Selangor sebagai hab digital dengan menumpukan kepada tiga sektor utama ekonomi digital iaitu e-dagang, syarikat pemula dan pendigitalan PKS.
Source: BERNAMA