ALPS Global syarikat bio Malaysia pertama capai status unicorn

© BH, New Straits Times Press (M) Bhd
Anwar ditemani Lih Kang (dua dari kiri) meninjau Pameran dan Persidangan Bioekonomi Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur, hari ini - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: ALPS Global Holding Bhd (ALPS) muncul sebagai syarikat berasaskan bio Malaysia yang pertama mencapai status unicorn di negara ini.

Secara keseluruhan, ALPS menjadi syarikat kedua mencapai status berkenaan di Malaysia selepas Carsome Sdn Bhd menjadi yang pertama berbuat demikian pada 2021.

Syarikat unicorn merujuk kepada syarikat pemula yang memiliki penilaian keseluruhan melebihi AS$1 bilion.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata pencapaian itu memenuhi salah satu matlamat utama di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang menyasarkan penciptaan tiga syarikat bio-inovasi dengan status unicorn menjelang tahun 2030.
Katanya, ALPS dijangka akan disenaraikan di Nasdaq pada suku keempat tahun ini dengan nilai permodalan kira-kira AS$1.6 bilion (RM7.48 bilion).

“Pencapaian ini akan membawa nama Malaysia ke persada dunia dan membuktikan keupayaan negara dalam menghasilkan syarikat berteknologi tinggi yang mampu bersaing di peringkat global.

“Saya juga berharap pencapaian ini boleh memberikan galakan kepada syarikat-syarikat berasaskan bio dalam negara kita untuk terus berkembang dan menjadikan Malaysia sebagai hab bioteknologi di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian persidangan dan pameran Pameran Bioekonomi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pameran dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Bioeconomy Corporation sebagai penganjur utama.

Pada majlis sama, Anwar turut menyaksikan pertukaran 11 memorandum persefaham (MoU) dengan nilai anggaran RM1.5 bilion antara penggerak industri bioteknologi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, berkata pengiktirafan ALPS sebagai sebuah unicorn akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang bioteknologi di rantau ini, khususnya dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Penciptaan unicorn dalam industri bioteknologi juga membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pembangunan bakat di kalangan rakyat Malaysia serta meningkatkan keupayaan pekerja tempatan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

“Melalui sokongan kuat daripada kerajaan dan MOSTI, Bioeconomy Corporation akan memperhebatkan lagi usaha untuk memastikan industri bioteknologi dan berasaskan bio memacu Malaysia ke persaingan global yang lebih tinggi, meningkatkan kecekapan teknologi tempatan dan mencapai matlamat sumbangan sebanyak lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti yang ditetapkan dalam Dasar Bioteknologi Negara 2.0,” katanya.

Source: BH, New Straits Times Press (M) Bhd